Tuesday, 27 October 2015

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) merupakan satu penambahbaikan untuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Penambahbaikan ini merupakan satu transformasi kurikulum iaitu suatu usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada iaitu KBSR. Penambahbaikan ini dilakukan untuk memastikan murid-murid akan mendapat pengetahuan, nilai dan kemahiran yang relevan berdasarkan keperluan semasa dalam abad ke-21 ini. Proses transformasi kurikulum dilaksanakan dengan membuat penandaarasan kurikulum negara maju dalam memastikan kurikulum pendidikan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.
Seterusnya, berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dengan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan untuk KSSR. Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah penambahbaikan kepada reka bentuk organisasi, pengurusan kelas, pendekatan dalam pengajaran dan lain-lain lagi seperti peruntukan masa. KSSR telah dijalankan di 500 buah sekolah rintis pada bulan Mac hingga bulan Jun 2009 dan diperkenalkan di setiap sekolah rendah di seluruh negara pada tahun 2011 dan bermula dengan murid tahap 1 dan bermula pada tahun 2014 untuk tahap 2 iaitu bermula dengan murid dalam tahun 4.
Tujuan utama KSSR diperkenalkan adalah untuk membantu murid-murid agar rmempunyai pemikiran yang lebih berdaya saing. Seterusnya ialah agar murid-murid dapat melihat kewujudan sesuatu perkara itu dengan lebih luas dan menggunakan intelek dan mental sebaik mungkin. Falsafah pendidikan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari pelbagai aspek juga merupakan salah satu faktor yang sangat dititikberatkan dalam pelaksanaan KSSR. Oleh itu, dalam pengurusan grafik dalam tugasan ini, saya telah membuat peta i-Think iaitu peta buih berganda untuk menunjukkan perbezaan di antara KBSR dan KSSR. Dalam penulisan esei pula, saya telah menulis esei berkaitan dengan pelaksanaan KSSR dalam membantu pembangunan modal insan murid selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.